Tuesday 2 August 2011

makanan masyarakat baba nyonya

Masakan nyonya pada masa kini sangat diminati oleh pelbagai kaum di Malaysia. Kaum nyonya bermastautin di Melaka dan Penang. Keturunan nyonya ini dikatakan berasal dari kaum Cina dan Amoy (Xiamen) dan Fukian. Pada abad ke-12 mereka mengawini gadis Melayu tempatan dan seterusnya berkeluarga di mana anak lelaki mereka dipanggil baba dan anak perempuan dipanggil nyonya. Baba dan nyonya mengikut dan meminati nilai tradisi dan budaya Melayu. Mereka fasih berbahasa Melayu, memakai kebaya dan memahami adat resam, nilai dan tradisi orang Melayu. Walau bagaimanapun kaum baba dan nyonya ini masih mengekalkan agama dan adat resam kaum Cina. Masakan nyonya adalah gabungan masakan orang Melayu dan Cina. Contoh masakan nyonya ialah bubur caca, ikan bakar dan air asam, nasi kerabu dan lain-lain. Terdapat beberapa perbezaan antara nyonya Penang dan nyonya Melaka. Di antaranya ialah penggunaan cili, di mana masakan nyonya Penang agak pedas berbanding nyonya Melaka. Nyonya di Penang dipengaruhi oleh Thailand di mana penggunaan limau dan asam jawa agak ketara. Masakan nyonya di Melaka mempunyai banyak pengaruh Indonesia dan Melayu. Contohnya ialah gado-gado dan penggunaan santan dalam masakan mereka. Kaum nyonya juga pandai menggayakan buah-buahan dan sayuran tempatan di dalam masakan mereka. Di antaranya ialah jantung pisang, nangka muda, daun keledek dan belimbing buluh. Buah-buahan dan sayuran ini digabungkan dengan daun limau purut, daun kesum, bunga kantan, daun kunyit dan daun pandan. Otak-otak, kerabu, laksa nyonya dan kuih muih nyonya mendapat tempat di buffet hotel dan restoran. Kuih nyonya terkenal dengan keenakan dan kepelbagaiannya. Kebanyakan kuih nyonya ini berasaskan resipi kuih orang Melayu tetapi diperkemaskan dan perbaharui oleh kaum nyonya. Bahan tani yang digunakan ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, beras pulut, santan dan gula melaka.

makanan kaum orang cina

Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya) cendawan, bunga lily, biji bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negeri China, contohnya: yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia. Nasi ayam dihidangkan bersama ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih yang dikukus. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang.

makanan kaum orang india

Roti canai atau paratha dan puri ini pada asalnya ialah makanan kegemaran kaum India. Buat masa kini roti canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak, diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Capati yang diolah dari gandum tulin mempunyai banyak khasiat dan makanan sesuai untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Roti-roti ini sedap dimakan bersama dal, kari dan sambal.
Satu lagi hidangan berasal dari India ialah nasi beriani. Terdapat beberapa jenis nasi beriani tetapi yang menjadi sebutan dan gilaan ialah nasi beriani gam. Ia bukan sahaja digemari oleh kaum India tetapi juga diminati oleh kaum-kaum yang lain. Nasi beriani ini dipelopori oleh orang Melayu terutama di Johor. Nasi beriani gam ini dimasak bersama dengan lauknya (ayam dan daging) dan doh tepung gandum menjadi bahan penampal atau pelekat. Doh ini akan ditampal di sekeliling tutup periuk untuk mengekalkan wap dan haba, dan seterusnya mengekalkan aroma dan tekstur nasi. Kuih muih orang India dijual di restoran mamak ialah: wade, maruku dan suji. Pelbagai minuman berasaskan tairu dan buah-buahan juga turut dijual. Contohnya nasi mangga.

makanan kaum melayu

Saya akan mulakan budaya makanan Malaysia ini dengan budaya makanan orang Melayu. Pelbagai lauk pauk tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia. Bijirin kecil ini juga berjaya membentuk budaya diet (pemakanan) dan ekonomi penduduk Asia. Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman. Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.Kita beralih pula ke masakan tradisi dan masakan popular orang Melayu di Malaysia. Kita masih mengemari masakan kampung atau masakan nenek dan emak kita dahulu. Orang Melayu di kampung-kampung masih berlandaskan pertanian. Di halaman-halaman rumah kampung kelihatan berkeliaran ayam, itik, ikan dari hasil tangkapan nelayan atau dari sawah dan bendang. Sayuran ditanam di belakang rumah dan juga di perairan sawah dan bendang. Pucuk paku, petai, daun pegaga, daun selum, daun kaduk, cendawan (kulat) dan lain-lain jenis ulaman daun menjadi makanan amalan orang Melayu di kampung. Daun-daun ini selain kaya dengan sumber vitamin dan mineral, ia juga tinggi dari segi serat. Daun kaduk dan daun pegaga telah mendapat pengiktirafan dari WHO sebagai herba yang mempunyai pelbagai faedah kepada kita. Ia boleh merangsang aktiviti otak kanak-kanak, pengaliran darah yang sihat dan menghaluskan tekstur kulit seseorang.

kepelbagaian makanan malaysia

‘Kepelbagaian’ merupakan perkataan utama apabila kita membincangkan tradisi makanan Malaysia. Di dalam perbincangan ini saya akan membawa anda sekalian melalui serambi gastronomi pelbagai kaum di Malaysia iaitu kaum Melayu, India dan China. Kita mulakan dengan pembudayaan makanan Melayu.Dari segi sejarah, kaum Melayu ini mempunyai elemen-elemen dan usul asal dari Sumatra, Jawa, Thailand, Sulawesi dan juga Polinisia. Dengan pengaruh-pengaruh negara tersebut tidak hairanlah jika masakan Melayu mempamerkan sedikit sebanyak kualiti kulinari dari negara-negara tersebut.