Tuesday 2 August 2011

makanan masyarakat baba nyonya

Masakan nyonya pada masa kini sangat diminati oleh pelbagai kaum di Malaysia. Kaum nyonya bermastautin di Melaka dan Penang. Keturunan nyonya ini dikatakan berasal dari kaum Cina dan Amoy (Xiamen) dan Fukian. Pada abad ke-12 mereka mengawini gadis Melayu tempatan dan seterusnya berkeluarga di mana anak lelaki mereka dipanggil baba dan anak perempuan dipanggil nyonya. Baba dan nyonya mengikut dan meminati nilai tradisi dan budaya Melayu. Mereka fasih berbahasa Melayu, memakai kebaya dan memahami adat resam, nilai dan tradisi orang Melayu. Walau bagaimanapun kaum baba dan nyonya ini masih mengekalkan agama dan adat resam kaum Cina. Masakan nyonya adalah gabungan masakan orang Melayu dan Cina. Contoh masakan nyonya ialah bubur caca, ikan bakar dan air asam, nasi kerabu dan lain-lain. Terdapat beberapa perbezaan antara nyonya Penang dan nyonya Melaka. Di antaranya ialah penggunaan cili, di mana masakan nyonya Penang agak pedas berbanding nyonya Melaka. Nyonya di Penang dipengaruhi oleh Thailand di mana penggunaan limau dan asam jawa agak ketara. Masakan nyonya di Melaka mempunyai banyak pengaruh Indonesia dan Melayu. Contohnya ialah gado-gado dan penggunaan santan dalam masakan mereka. Kaum nyonya juga pandai menggayakan buah-buahan dan sayuran tempatan di dalam masakan mereka. Di antaranya ialah jantung pisang, nangka muda, daun keledek dan belimbing buluh. Buah-buahan dan sayuran ini digabungkan dengan daun limau purut, daun kesum, bunga kantan, daun kunyit dan daun pandan. Otak-otak, kerabu, laksa nyonya dan kuih muih nyonya mendapat tempat di buffet hotel dan restoran. Kuih nyonya terkenal dengan keenakan dan kepelbagaiannya. Kebanyakan kuih nyonya ini berasaskan resipi kuih orang Melayu tetapi diperkemaskan dan perbaharui oleh kaum nyonya. Bahan tani yang digunakan ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, beras pulut, santan dan gula melaka.

No comments:

Post a Comment