Tuesday, 2 August 2011

makanan kaum melayu

Saya akan mulakan budaya makanan Malaysia ini dengan budaya makanan orang Melayu. Pelbagai lauk pauk tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia. Bijirin kecil ini juga berjaya membentuk budaya diet (pemakanan) dan ekonomi penduduk Asia. Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman. Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.Kita beralih pula ke masakan tradisi dan masakan popular orang Melayu di Malaysia. Kita masih mengemari masakan kampung atau masakan nenek dan emak kita dahulu. Orang Melayu di kampung-kampung masih berlandaskan pertanian. Di halaman-halaman rumah kampung kelihatan berkeliaran ayam, itik, ikan dari hasil tangkapan nelayan atau dari sawah dan bendang. Sayuran ditanam di belakang rumah dan juga di perairan sawah dan bendang. Pucuk paku, petai, daun pegaga, daun selum, daun kaduk, cendawan (kulat) dan lain-lain jenis ulaman daun menjadi makanan amalan orang Melayu di kampung. Daun-daun ini selain kaya dengan sumber vitamin dan mineral, ia juga tinggi dari segi serat. Daun kaduk dan daun pegaga telah mendapat pengiktirafan dari WHO sebagai herba yang mempunyai pelbagai faedah kepada kita. Ia boleh merangsang aktiviti otak kanak-kanak, pengaliran darah yang sihat dan menghaluskan tekstur kulit seseorang.

No comments:

Post a Comment